buah limau

Khasiat Buah Limau (Sitrus)

Sebut saja limau atau oren mesti orang kaitkan dengan vitamin C. Begitu jugalah dengan Ribena. Sinonim betul Ribena dengan vitamin C (pandai company ni buat marketing). Tapi apa pula khasiat vitamin C untuk kesihatan tubuh kita. Artikel kesihatan di bawah bakal menjawab persoalan kita semua. Jom baca tambah ilmu.

Tak boleh nafi khasiat sitrus

TIADA siapa dapat menafikan hakikat bahawa buah sitrus yang rasanya masam mempunyai banyak khasiat dan kebaikan. Buah sitrus ialah jenis limau sama ada oren, lemon, limau nipis, limau bali, limau kasturi, limau purut mahupun limau mandarin.

Ia boleh dimakan segar, diperah untuk dijadikan minuman, bahan dalam masakan atau diparut sebagai perisa kek, kuih-muih atau bahan perapan. Umumnya, semua maklum buah ini kaya dengan vitamin C yang baik untuk kulit.

Vitamin C bertanggungjawab membentuk kolagen yang baik untuk pembentukan ligamen, tendon, kulit, pembuluh darah dan tulang serta membantu proses penyembuhan luka.

Buahan sitrus juga :

  • baik untuk kesihatan jantung, penglihatan serta
  • mengurangkan risiko penyakit kanser.
  • Ia juga memiliki kelebihan sebagai antioksidan,
  • membantu mengawal tekanan darah,
  • mengurangkan risiko penyakit strok di kalangan wanita serta
  • membantu perkembangan otak janin.

Oren mengandungi karbohidrat dalam bentuk fruktosa, glukosa dan sukrosa. Serat di dalam karbohidrat melambatkan proses pengosongan perut, pencernaan dan penyerapan khasiat makanan.

Bagaimanapun, jika dimakan berlebihan, ia mendatangkan keburukan. Kanak-kanak misalnya gemar menghisap atau mengemam buahan sitrus di dalam mulut dalam tempoh lama.

Tabiat itu boleh menyebabkan mineral penting pada gigi terjejas, di samping menghakis permukaan luar gigi disebabkan kandungan asid tinggi dalam buahan sitrus. Akibatnya, gigi menjadi sensitif atau mudah ngilu ketika makan makanan atau minuman sejuk.

Pencuci mulut, kek atau puding daripada buahan sitrus sememangnya membuka selera kerana mempunyai gabungan rasa manis dan manis. Apapun, pengambilan berlebihan selain tanpa penjagaan gigi yang baik boleh menyebabkan kerosakan gigi, terutama di kalangan kanak-kanak. Ini kerana, sisa manisan yang terkumpul di dalam mulut menyebabkan karies gigi.

Penjagaan gigi dan gusi yang baik dapat mencegah daripada kerosakan gigi. Amalan itu perlu diterapkan sejak kecil dengan meminta anak berkumur selepas makan manakala gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu selepas bangun pagi dan sebelum tidur.

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

buah kiwi

Khasiat Buah Kiwi

WALAUPUN kecil dari segi saiznya, buah kiwi mampu membekalkan cedokan harian yang lazat dengan khasiat kesihatan yang luar biasa.

Pakar Nutrisi Pusat Perubatan Subang Jaya, Ho Wan Mi memberitahu, buah kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren dan lima kali ganda khasiat daripada epal.

Buah kiwi diakui mengandungi lebih banyak nutrien penting berbanding 27 jenis buah-buahan popular. Ia dibuktikan oleh kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Rutgers, Amerika Syarikat sekali gus dinobatkan sebagai perangsang kesihatan terulung.

“Kandungan vitamin C yang tinggi berupaya mempertingkat sistem daya tahan secara semula jadi serta menyumbang kepada pembentukan kolagen selain fungsi normal tulang, rawan, gusi, kulit dan salur darah.

“Ia juga membantu dalam penyerapan zat besi dan kalsium untuk menjaga kesihatan gigi serta gusi selain mampu mencegah simptom selesema,” jelas Wan Mi ketika ditemui Kosmo! sewaktu pelancaran musim buah kiwi Zespri di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Kiwi Zespri sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta kiwi memandangkan ia antara jenama utama buah itu di peringkat antarabangsa.

Menurut satu kajian yang dipapar dalam The American Journal of Clinical Nutrition, ia mengesahkan kandungan vitamin C dalam buah kiwi Zespri emas adalah lima kali ganda biowujud daripada vitamin C dalam makanan kesihatan tambahan.

Malah, kedua-dua buah kiwi hijau dan emas mengandungi vitamin E dan folat yang boleh membantu pembentukan sel darah merah serta mencegah anemia.

Tambah Wan Mi, buah kiwi merupakan sumber pemakanan serat yang bagus. Diet yang mengandungi banyak serat dapat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dan mengurangkan risiko serangan serta sakit jantung.

“Berbekalkan sumber kandungan serat yang unggul, buah kiwi Zespri membantu melancarkan perjalanan usus dan menyediakan persekitaran gastrousus yang sihat untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam perut,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan The Journal of Agriculture & Food Chemistry pada tahun 2012 menunjukkan buah kiwi hijau mengandungi enzim protease (aktinidin) yang boleh membantu pencernaan di dalam usus kecil.

Ia juga dapat mengurangkan rasa kembung selepas menikmati juadah yang kaya dengan lemak dan daging.

Sumber: KOSMO!

Kelebihan Makan Pisang

PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.

PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Read More