panjang umur

4 Petua Panjang Usia

GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat.

Maka tidak hairanlah jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup terjejas.

Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai, maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.

Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.

1. Fikir sebelum makan

Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.

2. Lakukan senaman secara rutin

Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol.

Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.

3. Sentiasa positif

Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.

4. Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah

Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan, pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya terhadap qada’ dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Sumber: Utusan Malaysia

Kelebihan habbatus sauda

Keajaiban Habbatus Sauda – Khasiat Makanan Sunnah Rasulullah

SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.

Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.

Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.

Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.

“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.

“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.

Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.

Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.

Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.

Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.

Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.

“Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.

“Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan,” jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.

Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.

Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.

Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.

Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.

Makam Firaun

Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.

Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.

Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”

Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.

Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.

Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.

Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.

“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.

“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.

Lewatkan penuaan

Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.

“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.

“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.

“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.

Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.

“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.

“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.

“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.

Sumber : KOSMO

Sinergi Mantap VCO dan Habbatus sauda. Lihat Kesannya Disini (klik)

sakit perut

Kanser Usus Punca Sembelit Kronik?

kanser usus
Klik gambar untuk imej lebih jelas

ADAKAH anda kerap menghadapi masalah sembelit sehingga ke tahap yang serius? Tahukah anda kanser usus merupakan salah satu faktor punca berlakunya masalah sembelit kronik?

Kanser usus merupakan kanser ketiga tertinggi di Malaysia dan statistik daripada Kementerian Kesihatan turut mencatatkan 90 peratus daripada pesakit kanser ini adalah mereka yang berusia 40 tahun ke atas.

Namun, kanser ini turut menyerang golongan muda atas faktor pemakanan dan cara hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam dan merokok.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Seenivasagam Theruvenkidan, kanser usus sukar dikesan di peringkat awal kerana kebanyakan pesakit hanya akan mengetahuinya setelah menunjukkan petanda apabila penyakit ini berada di peringkat serius.

“Antara tanda kanser usus sudah kronik ialah apabila pesakit mengalami masalah membuang air besar akibat daripada pembentukan sel kanser di dalam usus besar yang menghalang laluan najis,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah Dr. Seenivasagam, sembelit yang kronik merupakan salah satu simptom kepada masalah kanser usus atau kolon apabila sel kanser yang semakin membesar menyebabkan bukan sahaja najis tidak dapat melalui usus dengan sempurna malah terdapat juga masalah lain seperti tidak dapat mengeluarkan angin daripada badan.

Beliau berkata, kesedaran mengenai kanser usus masih lagi kurang dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana ramai pesakit datang berjumpa doktor hanya ketika kanser telah berada di peringkat ketiga dan keempat iaitu peringkat yang serius di mana sel kanser telah merebak ke bahagian usus dan organ badan yang lain.

“Beberapa simptom yang boleh mengesan kanser usus antaranya adalah najis yang bercampur darah, sembelit kronik diselang-seli dengan najis yang berair dan beberapa simptom lain,” katanya.

Namun kebanyakan pesakit gagal mengesan kanser ini di peringkat awal dan menurut Dr. Seenivasagam beberapa ujian akan dijalankan untuk mendiagnos penyakit ini.

Antara ujian yang akan dilakukan ialah kolonoskopi yang mana tiub akan dimasukkan ke dalam badan untuk melihat keadaan di dalam kolon.

“Jika terdapat ketumbuhan biasa, ia akan dibuang dengan menggunakan peralatan tersebut dan jika kanser usus dikesan, pembedahan akan dijalankan bagi membuang usus yang dijangkiti sel kanser,” katanya.

Setelah pembedahan dilakukan sistem pencernaan akan kembali berfungsi dengan baik dan masalah sembelit akan hilang.

Sumber: Utusan Malaysia

jerawat muka

Jenis, Punca dan Mitos Jerawat

jerawat muka

Mengapa remaja sering kali mengalami masalah jerawat yang banyak?

Sememangnya, jerawat antara masalah merunsingkan remaja. Selalunya, jerawat mula muncul pada awal atau pertengahan baligh iaitu seawal umur 10 tahun ketika hormon seksual mula meledak. Ia menyerang tanpa mengira jantina. Cuaca panas kadangkala memburukkan keadaan kerana ia menyebabkan kulit lebih berminyak.

Faktor berlakunya jerawat

1. Faktor keturunan atau genetik adalah punca utama jerawat. Ada tiga keadaan yang biasa dialami pesakit jerawat iaitu kulit berminyak, pengelupasan semula jadi sel kulit mati yang tidak normal dan kehadiran bakteria Proprionibacterium acnes yang banyak di dalam kulit.

2. Faktor perubahan hormon seksual banyak menyumbang kepada pengeluaran sebum atau kulit berminyak. Rawatan jerawat termasuklah ubatan menanggalkan sel kulit mati (exfoliant), mengurangkan kulit berminyak dan antibiotik menghapuskan bakteria.

Kebanyakan remaja tidak mempunyai pengetahuan secukupnya berkaitan jerawat. Berikut disenaraikan sedikit penerangan mengenai punca jerawat dan tips mengurangkan masalah berkenaan;

* Jerawat atau lebih tepat digelar akne mengikut istilah perubatan adalah benjolan kecil yang timbul di permukaan kulit.

Ada pelbagai jenis benjolan kecil ini iaitu whiteheads (berwarna kulit atau sedikit putih), blackheads (mempunyai bintik hitam di tengah), jerawat (berwarna merah dan menyakitkan) dan jerawat batu atau nodul (benjolan lebih besar membabitkan lapisan kulit lebih dalam).

Jerawat peringkat teruk dikenali sebagai acne vulgaris. Ia memerlukan rawatan segera daripada doktor. Kegagalan merawat akne vulgaris dengan sempurna bakal menyebabkan parut berkekalan pada muka.

Berikut adalah 6 MITOS berkaitan jerawat yang selalu diketahui:

1. Jerawat disebabkan kulit kotor atau tidak dicuci bersih. Jerawat tidak terjadi akibat kulit kotor. Sebaliknya, ia disebabkan penghasilan berlebihan kelenjar minyak dan pengumpulan sel kulit mati, sebum (minyak) serta bakteria yang menyebabkan keradangan di dalam poripori kulit.

2. Kekerapan mencuci muka kurangkan potensi kemunculan jerawat.

Walaupun mencuci muka dapat menghilangkan kotoran dan minyak dari kulit, kekerapan mencuci akan menjadikan radang dan kulit kering. Fenomena ini juga boleh mencetuskan jerawat. Penggunaan scrub (lulur) akan memburukkan lagi keadaan kerana kulit berpotensi mudah radang dan tercedera. Anda seharusnya menggunakan pencuci sederhana (mild) melalui pergerakan berpusing secara lembut, dua kali sehari dan lap lembut menggunakan tuala bersih. Jika kulit muka terasa tegang dan kering selepas dicuci, ia menandakan pencuci muka itu terlalu kuat dan tidak sesuai.

3. Memicit jerawat akan cepat menghilangkannya.

Memicit jerawat menyebabkan jerawat kurang kelihatan untuk sementara waktu. Namun, proses ini menyebabkan pertumbuhan bakteria, sel kulit mati dan sebum tertolak lebih mendalam ke dalam kulit dan menyebabkan kawasan berkenaan bengkak dan merah. Ia akan melambatkan proses penyembuhan jerawat dan boleh meninggalkan tanda merah atau coklat serta parut pada kulit. Tanda berwarna ini akan kekal selama beberapa bulan sementara parut pula akan kekal selama-lamanya.

4. Jangan memakai bahan solekan jika mahu kulit mulus.

Jika menggunakan bahan solekan yang tidak komedogenik, bersolek tidak akan menyebabkan jerawat. Berhati- hatilah apabila memilih bahan kosmetik dengan membaca terlebih dulu label pada bahan kosmetik.

5. Memakan coklat atau kacang dan tekanan mencetuskan jerawat.

Punca utama jerawat bukan berpunca daripada makanan. Bagaimanapun, ada makanan tertentu mungkin memburukkan lagi jerawat. Jika berlaku hal sedemikian, kurangkan pengambilan makanan berkenaan. Tekanan tidak mencetuskan jerawat namun boleh meningkatkan pengeluaran sebum, seterusnya memburukkan lagi keadaan jerawat sedia ada.

6. Jerawat adalah sebahagian daripada resdung, oleh itu elakkan makanan penyebab `gatal’ seperti belacan dan sebagainya. Ini tidak benar kerana resdung diistilahkan sebagai sejenis penyakit alahan. Jerawat bukan berpunca daripada alahan…

Kepentingan merawat jerawat dengan betul tidak boleh dipandang rendah kerana kelewatan merawat atau kesilapan pengambilan ubat boleh menyebabkan parut berkekalan, seterusnya mengganggu emosi dan penampilan diri remaja yang sememangnya sangat sensitif dengan penampilan luaran.

* Artikel kafe@TEEN kelolaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Mari Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Cik Jerawat & Miss Jeragat <klik>

ekzema bayi

Kenali Penyakit Ekzema

ekzema bayi

“Comelnya baby ni…eh tapi kenapa ada merah-merah kat pipi dia?” soal saya kepada jiran yang baru sahaja pulang mengambil anaknya dari rumah pengasuh.

“Oh ni kena ekzema, tu yang merah-merah tu”, jawab jiran saya.

Ekzema, hmm.. penyakit kulit pada bayi. Nak kena google ni untuk cari maklumat. Mana tahu boleh bantu dia. Selepas google dan browsing, saya terjumpa artikel kesihatan mengenai penyakit ekzema ini. Mari baca untuk tambah ilmu kesihatan. Penting ye lebih-lebih jika anda ada anak kecil.

Penyakit ekzema merupakan sejenis penyakit genetik yang dikaitkan dengan sistem pertahanan diri seseorang yang bertindak balas secara serius terhadap punca yang mengakibatkan alahan. Ini menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan, gatal dan rasa pedih.

Bagi ekzema pada tahap ringan ke sederhana, masalah ini mengakibatkan kulit kering, panas dan gatal, manakala dalam kes-kes yang serius, ia menjadi merekah dan boleh mengakibatkan pendarahan.

Menurut pakar-pakar dermatologi, permintaan untuk rawatan ekzema di Malaysia meningkat sebanyak 20 peratus sejak tahun 2001 terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Ekzema atopik diramalkan akan memberi kesan sehingga 14 peratus kepada kanak-kanak yang menunjukkan risiko berkaitan dengan atopi seperti deman alergi dan asma.

Faktor Berlakunya Penyakit Ekzema

Beberapa faktor-faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes adalah seperti peningkatan suhu dan kelembapan disebabkan perubahan cuaca.

Lain-lain faktor termasuklah pencemaran alam sekitar, pelbagai bahan tambahan kimia, bahan cuci kasar, logam dan kosmetik yang boleh mendatangkan kesan alergi kepada individu yang mudah menghidap ekzema.

“Trend ini juga dikaji di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, di mana peningkatan kes ekzema mempunyai kesan besar kepada kos kesihatan,” menurut Dr. Steven Chow, perunding kanan dermatologi merangkap presiden Persekutuan Majlis Pengamal-pengamal Perubatan Swasta Malaysia atau Federation of Private Medical Practitioners Association of Malaysia (FPMPAM)

“Melainkan mereka yang mempunyai risiko seperti kanak-kanak mempunyai pelan pengurusan jangka panjang, permintaan bagi rawatan akan terus meningkat oleh kerana kemungkinan pengulangan keradangan walaupun setelah dewasa,” tambahnya.

Menurut Dr. Chow lagi, kaji selidik yang dijalankan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa 23 peratus daripada individu yang menghidap dermatitis atopi tidak menggunakan pelembap dan 29 peratus tidak menggunakan pencuci yang sesuai. Kemungkinan ia juga berlaku di Malaysia.

“Dengan mengenal pasti dan menghindari penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak sesuai, ahli keluarga dan individu boleh mencapai pengawalan ekzema untuk jangka masa panjang yang juga boleh mengurangkan perbelanjaan mereka dalam penjagaan kesihatan.

Perunding dermatologi Dr. Mardziah Alias pula berkata, penggunaan sabun dan bahan cuci kasar merupakan penyebab biasa ekzema kerana ia mengandungi bahan kimia yang boleh menghilangkan kelembapan kulit.

“Dengan menggunakan pelembap, mereka boleh menghalang kulit daripada menjadi kering sementara ia meningkatkan lapisan perlindungan semula jadi kulit terhadap faktor-faktor penyebab ekzema.

“Yang terbaik adalah krim yang mempunyai dwi-fungsi untuk melembap dan pada masa sama sebagai agen antikeradangan untuk melegakan kulit.

Apakah petua untuk menjaga kulit ini?

Hadkan penggunaan

Sebaik-baiknya elakkan penggunaan produk isi rumah seperti pembersih, detergen, losen lepas mencukur, sabun, gasolin dan turpentin. Produk seperti ini cenderung menyebabkan iritasi kulit.

Pakai sarung tangan

Sarung tangan plastik atau vinil boleh melindungi kulit daripada terdedah kepada bahan-bahan yang berupaya menjejaskan kesihatan kulit.

Kain kapas atau kombinasinya

Fabrik bulu atau sesetengah tekstil sintetik boleh menyebabkan iritasi kulit. Mereka yang mempunyai kulit sensitif akan berasa lebih selesa mengenakan pakaian yang diperbuat daripada kapas atau kombinasi kapas.

Sewaktu mandi

Mandi dengan hanya menggunakan sabun lembut tanpa pembersih yang boleh digunakan dengan atau tanpa air. Kekalkan suhu air pada kadar dingin atau suam dan bukan panas.

Berendam dalam tab mandi untuk seketika adalah baik untuk kulit. Ini kerana lapisan luar kulit boleh menyerap air dan mengelakkan kekeringan. Seboleh-bolehnya rendam selama 15 hingga 20 minit.

Kemudian, gunakan tuala lembut untuk mengelap kulit. Jangan sesekali menggaru kulit. Sebaik sahaja selesai mencukur, sapukan pelembap pada kulit anda. Ini dapat mengekalkan tahap kelembapan kulit.

Losen

Pelembap menjadikan kulit lebih lembut dan fleksibel. Elakkan pelembap yang mengandungi pewangi dan pelbagai bahan tambahan. Sesetengah pelembap berbentuk krim sesuai untuk kulit kanak-kanak. Ini kerana kandungannya yang tidak berminyak dan mengandungi agen antikeradangan yang sesuai dengan kesan pelembap dan boleh memanfaatkan kulit ekzema. Amalkannya setiap hari.

Menggaru

Elakkan daripada menggaru kawasan yang terdedah biarpun gatal. Menggaru boleh menyebabkan kulit merekah. Sebaliknya, gunakan pelembap untuk menangani kegatalan tersebut. Ibu bapa boleh memakaikan sarung tangan pada bayi mereka bagi mengelakkan si kecil daripada menggaru.

Berpeluh

Kepanasan atau berpeluh melampau boleh mengakibatkan kegatalan kulit. Jika boleh, elakkan aktiviti yang boleh membuatkan anda berasa terlalu panas dan berpeluh secara berlebihan.

Tekanan

Belajarlah cara untuk mengenal pasti dan berdepan dengan tekanan. Teknik pengurangan tekanan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasi masalah ini daripada bertambah teruk.

Penjagaan khas

Bahagian yang terjejas akibat ekzema akan mudah menerima kesan iritasi. Ini bermakna penjagaan khas masih diperlukan. Jadi, teruskan tip-tip ini biarpun selepas kulit anda sudah pulih sepenuhnya.

Ubat Penyakit Kulit Ekzema

http://kesihatan.info/penyakit-kulit/

Inginkan Rawatan Alternatif Yang Terbukti Berkesan Untuk Merawat Penyakit Ekzema? Temui Penawarnya Disini (klik)