panjang umur

4 Petua Panjang Usia

GAYA hidup masyarakat semakin berubah. Remaja hari ini lebih banyak menghabiskan masa bermain komputer dan berinternet berbanding di padang bersama rakan-rakan. Mereka lebih seronok menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak mengeluarkan peluh. Dari segi pemakanan pula, anak-anak kita hari ini terdedah kepada pelbagai makanan yang siap diproses berbanding makanan segar hinggakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak digemari oleh mereka. Mereka lebih suka makan makanan segera dan minuman berkarbonat.

Maka tidak hairanlah jika masalah obesiti atau lebihan berat badan banyak melibatkan remaja dan anak-anak moden terutamanya yang hidup di bandar-bandar besar. Bukan sahaja anak-anak, malah orang dewasa juga kurang melakukan senaman rutin. Meskipun sudah hampir lewat malam atau sudah awal pagi masih berada di kedai makan lagi. Sedangkan esok perlu bangun awal dan bekerja. Akhirnya, produktiviti kerja menurun dan kualiti hidup terjejas.

Usia yang panjang itu boleh didoa dan diusahakan. Cuba fikirkan apakah penyebab kepada kematian? Memanglah jawapannya takdir dan ketentuan Allah. Tetapi dalam masa yang sama manusia boleh berdoa untuk meminta dipanjangkan usia. Kalau diperhatikan penyebab utama kepada kematian adalah kemalangan, pembunuhan (termasuk bunuh diri), penyakit kronik (termasuk jantung) dan usia tua. Ini bermakna mati itu pada kebiasaannya bersebab. Oleh itu jika kita meminta panjang umur tetapi dalam masa sama tidak mengamalkan gaya hidup sihat dan sengaja mendedahkan diri pada aktiviti berisiko seperti memandu laju dan cuai, maka kemungkinan doa kita untuk panjang umur tidak dimakbulkan oleh Allah. Kerana setiap doa itu perlu diiringi dengan usaha.

Rahsia kepada usia panjang dan bahagia adalah kehidupan yang seimbang. Terdapat empat perkara yang utama dan perlu diberikan perhatian jika mahu hidup lebih lama dan bahagia.

1. Fikir sebelum makan

Ada orang kata makanan sayang mahu dibuang sebab itu adalah rezeki. Betul, tapi mereka lupa kesihatan tubuh badan juga adalah satu rezeki. Kalau sudah tahu tidak mahu membazir, usah ambil makanan terlalu banyak. Kalau diberikan oleh orang kepada kita, agih-agihkanlah pula kepada orang lain agar tidak membazir. Fikirkan juga sama ada apa yang dimakan itu berkhasiat atau tidak. Budaya terlalu banyak makan makanan yang berlemak, berminyak, bersantan dan bergula hanya memudaratkan kesihatan sendiri.

2. Lakukan senaman secara rutin

Seharian bekerja memang meletihkan. Namun penat bekerja yang tidak mengeluarkan peluh tidak sama dengan penat bersenam yang mengeluarkan peluh. Senaman yang dilakukan secara rutin memastikan badan dalam keadaan baik sehingga ke usia tua. Kalau sudah tidak larat untuk bersukan, cukuplah dengan berlari-lari anak. Kalau berlari-lari anak juga sudah tidak mampu maka usahakanlah untuk berjalan laju beberapa kilometer sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Sedikit senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mencegah tubuh badan daripada pelbagai masalah penyakit kesan daripada lebihan kalori dan kolestrol.

Senaman yang berterusan juga menguatkan otot-otot serta sendi dan ini penting dalam proses pembakaran lemak. Mereka yang mengalami masalah berat badan biasanya malas bersenam. Sebaliknya mereka menjadi kuat makan dan kuat tidur. Gejala ini memburukkan lagi keadaan hingga membawa kepada pelbagai masalah penyakit serta keyakinan diri yang rendah.

3. Sentiasa positif

Ada ketikanya berfikiran positif itu tidak menyelesaikan masalah yang ada, tetapi tanggapan ini mengubah cara kita melihat masalah itu dan ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan emosi pada diri. Malah berfikiran positif juga ada ketikanya membolehkan kita memecah kebuntuan terhadap sesuatu masalah yang selama ini terasa begitu rumit. Apa yang menariknya, berfikiran positif mampu mendorong orang yang positif kepada kita untuk membantu menyelesaikan masalah. Mereka yang positif percaya setiap yang berlaku ada sebab-sebabnya dan mereka belajar sesuatu daripadanya. Dari segi hubungan sosial, mereka yang positif sentiasa bersangka baik, berusaha memperbaiki hubungan, berlapang dada dan suka memaafkan orang lain.

4. Menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah

Mereka yang mencari bahagia, menyerahkan sepenuh jiwa raganya kepada Allah. Hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Apa juga yang dilakukan diniatkan kerana Allah. Mereka ini menjaga ibadah wajib dan menambah ibadah sunat. Mereka sentiasa mencari ruang untuk membuat kebajikan, pemurah, suka menolong orang dan hatinya sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan dan perbuatan. Mereka percaya tidak ada satu pun musibah yang boleh berlaku melainkan dengan izin Allah. Tahap keyakinan dan tawakalnya terhadap qada’ dan qadar Allah cukup tinggi. Hidupnya tidak dalam keluh kesah, apa lagi merintih atau merungut. Sebaliknya hatinya dididik untuk sentiasa reda dan syukur dengan apa yang diperolehi setelah segalanya diusahakan dengan baik dan bersungguh-sungguh. Hidup mereka berpaksikan akidah yang mantap, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.

Sumber: Utusan Malaysia

lemak kolestrol

8 Tip Mengurangkan Pengambilan Lemak Dalam Makanan

 

 

 

 

Klik gambar pamphlet di atas untuk imej lebih jelas. Mari sama-sama baca dan sebarkan.

8 Tip Mengurangkan Pengambilan Lemak & Kolestrol Dalam Makanan

  • Pilih bahagian daging tanpa lemak dan buangkan semua kulit serta lemak yang kelihatan sebelum masak.
  • Masak dengan menggunakan kuali tanpa lekat.
  • Gunakan minyak yang sedikit semasa menggoreng. Pastikan minyak betul-betul panas sebelum menggoreng makanan untuk mengurangkan penyerapan minyak.
  • Kurangkan menggoreng makanan yang disalut tepung.
  • Pelbagaikan cara memasak seperti mengukus, merebus, membakar dan memanggang.
  • Serapkan minyak yang berlebihan dengan menggunakan kertas penyerap minyak.
  • Ubahsuai resipi untuk mengurangkan penggunaan santan. Gunakan susu tanpa lemak dan rempah asli sebagai ganti.
  • Gantikan makanan ringan dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

A man fist full with cigarette

Awas Kesan Buruk Merokok Sebaik Berbuka

Berbuka puasa dengan menghisap rokok boleh membawa maut, kata seorang pakar yang menggesa orang Islam membuang tabiat merokok ketika Ramadan.

Perbuatan merokok boleh memberi bahaya kepada seseorang yang berpuasa kerana anggota badan mereka cuba untuk pulih selepas tidak minum atau makan dalam tempoh yang lama, katanya.

Pakar itu juga menekankan, perokok dikira bernasib baik sekiranya mereka tidak mempunyai masalah jantung berpunca daripada tabiat berkenaan.

Merokok adalah perkara buruk yang dilakukan seseorang terhadap badan mereka terutama selepas berbuka puasa di bulan Ramadan, kata seorang pakar perubatan dalaman di Pusat Perubatan dan Klinik Emirates di Al Ain, Dr Riaz Ahmad Minhas.

Disebabkan berpuasa, badan amat memerlukan air, glukos dan oksigen. Sebaliknya, merokok boleh menyekat saluran darah, menghalang aliran oksigen yang diperlukan. Merokok pada waktu kritikal juga boleh menyebabkan darah menjadi beku.

Ini boleh menyebabkan pembuluh darah tersekat sekali gus meningkatkan tekanan darah, spasms (kesesakan arteri) mengganggu degupan jantung dan meningkatkan kolesterol.

Ia boleh menyebabkan perokok maut. Sebab itu, perokok perlu berhati-hati dalam perkara ini, kata Dr Minhas.

– Agensi

merokok

bahaya rokok

cara memutihkan gigi

8 Tip Memutihkan Gigi

PENGAMBILAN minuman seperti teh dan kopi akan mengubah warna kecerahan gigi yang secara tidak langsung akan mencacatkan senyuman kamu. Berikut adalah tip untuk memiliki gigi cantik dan sihat :-

1. PETUA klasik untuk memutihkan gigi adalah menggunakan soda bikarbonat yang diletakkan pada berus gigi untuk mengurangkan hidrogen peroksida.

2. KITA boleh memutihkan gigi dengan menggunakan paste yang diperbuat daripada beberapa titis jus lemon yang telah dicampur dengan secubit garam. Gunakan paste tersebut ke gigi dan gosok secara lembut ketika sedang memberus gigi.

3. SARI buah epal dan cuka putih juga sangat berkesan untuk menghilangkan kesan karat pada gigi tapi elakkan dari menggunakan secara harian kerana ia boleh menimbulkan kerosakan pada lapisan enamel gigi.

4. KULIT limau mengandungi unsur pemutih yang sangat lembut. Gosok gigi dengan menggunakan bahagian dalam kulit limau, ia mampu membantu menghilangkan kesan karat pada gigi tanpa membahayakan lapisan enamel gigi.

5. SELAIN teh dan kopi, buah-buahan seperti anggur merah, ceri, beri hitam serta beri biru juga mampu mengubah warna kecerahan gigi kamu. Jadi, berus gigi atau minum air putih selepas makan buah-buahan tersebut untuk mengelakkan kotoran melekat di gigi kamu.

6. KEJU mengandungi lactic acid yang berfungsi untuk melindungi gigi. Selain itu, ia turut mengandungi kalsium dan fosfor yang berguna dalam pembentukan enamel gigi.

7. NIKOTIN yang terkandung dalam rokok akan menyebabkan gigi kelihatan kekuningan dan sukar untuk dihilangkan kerana ia telah menembusi enamel. Dalam kes ini, gunakanlah produk pemutih gigi sebagai jalan penyelesaiannya.

8. JANGAN lupa membuat temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurang enam bulan sekali untuk membuat scaling bagi mengeluarkan kotoran permukaan yang berpunca daripada pelbagai makanan.

Sumber: Utusan