Dark Chocolate ataupun Coklat Gelap berasal dari biji pokok koko (Theobroma Cacao) mengandungi seribu satu nutrien yang boleh beri kebaikan kepada tubuh badan kita. Tok Wan nak beritahu, coklat gelap merupakan agen antioksida terbaik yang terdapat dalam mana-mana makanan di dunia ini.
Ramai ingatkan makan coklat ni boleh menggemukkan dan mempunyai kandungan gula yang tinggi. Tak betul tu. Kali ini Tok Wan nak berkongsi tentang 6 kebaikan Dark Chocolate untuk kesihatan kita yang ramai tak tahu.
Table of Contents
1. Mengurangkan risiko sakit jantung
Sumber: Freepik.com
Terdapat kajian menunjukkan dengan memakan sejumlah kecil coklat gelap 2-3 kali setiap minggu boleh membantu menurunkan tekanan darah anda (1). Coklat gelap membantu mencegah pembentukan darah beku san boleh memperbaiki aliran darah. Makan coklat gelap juga boleh mencegah arteriosklerosis (pengerasan arteri) (2).
Flavanol yang terdapat dalam coklat gelap bukan sahaja mampu melancarkan pengaliran darah, tetapi ianya juga dapat menjadikan platelet darah kurang melekit. Jadi, strok dapat dihalang kerana pengumpulan darah dapat dielakkan (3).
Selain itu, koko mempunyai bahan perangsang seperti kopi dan juga theobromine yang menjadi kunci utama sebab ianya boleh meningkatkan fungsi jantung dalam jangka masa yang singkat (4).
2. Sumber Antioksida Luar Biasa
Sumber: Pexels.com
Bukan sayur sahaja ada fungsi antioksidan, tetapi coklat gelap juga kaya dengan bahan organik aktif yang bertindak sebagai sumber antioksida. Antaranya adalah flavanol, catechin dan polifenol.Terdapat satu dapatan kajian yang menunjukkan koko dan coklat gelap mempunyai aktiviti antioksida yang lebih tinggi berbanding pelbagai jenis buah yang diuji, termasuk beri biru dan juga beri acai (5).
Apa fungsi antioksidan? Mari Tok Wan nak beritahu. Antioksidan membantu untuk membebaskan badan anda daripada radikal bebas yang menyebabkan kerosakan oksidatif kepada sel-sel. Radikal bebas yang terdapat dalam badan inilah yang menjadi penyebab kanser. Ianya juga memberi kesan kepada proses penuaan (6).
Percaya atau tidak, dengan mengamalkan coklat gelap, selain terlindung daripada pelbagai jenis kanser, ia juga mampu menbuat kulit wajah anda menjadi awet muda! Itu sebab Tok Wan selalu sihat dan awet muda, Alhamdulillah.
3. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Sumber: Pexels.com
Berkenaan ni mesti ramai suka, Mak Jah suka coklat gelap sebab yang inilah. Ada satu kajian yang dilakukan di Itali pada tahun 2005 mendapati bahawa coklat dapat meningkatkan sensitiviti dan seterusnya mengurangkan risiko diabetis (7). Sensiviti ini akan mengawal kadar gula dalam darah menjadi paras normal.
Coklat gelap sendiri memiliki kadar glidemik yang rendah sehingga tidak akan menyebabkan peningkatan gula darah(8).
Satu lagi kajian yang dijalankan pada tahun 2009 yang telah diterbitkan dalam “Southern Medical Journal” telah mengkaji kesan coklat gelap terhadap 28 sukarelawan yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Baca juga : 6 Kebaikan Mandi Air Sejuk Waktu Pagi. Nombor 3 Ramai Yang Tak Sangka
Kajian ini mendapati bahawa polyphenol yang terdapat dalam coklat gelap mempunyai fungsi dalam mengawal tahap kolestrol. Selain itu, pengambilan coklat gelap yang kaya dengan polyphenol ini selama tiga minggu juga boleh meningkatkan tahap kolestrol baik dan mengurangkan kolestrol jahat sehingga 9% (9).
4. Melindungi dan Mencantikkan Kulit
Sumber: Pixabay.com
Bahan bioaktif yang terdapat dalam coklat gelap juga amat baik untuk kulit kita. Flavanol mempunyai fungsi untuk melindungi kulit daripada sinaran UV yang boleh merosakkan kulit. Apabila pengaliran darah ke kulitdapat ditingkatkan, ketumpatan kulit dan kadar hidrasi dalam badan juga akan meningkat (10).
Dengan mengamalkan pengambilan coklat gelap yang mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus (70%) kandungan koko, kedutan di kulit juga akan dapat dihilangkan.
Bukan setakat itu, dengan mengurangkan hormon stres, coklat dapat meningkatkan mood gembira, lantas menghalang kerosakan kolagen. Kolagen adalah protin yang akan mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit anda (11).
5. Meningkatkan Daya Penglihatan
Sumber: Pexels.com
Manfaat flavanol dalam melancarkan pengaliran darah dalam tubuh sememangnya dapat meningkatkan pelbagai fungsi lain dalam tubuh. Ini termasuklah bahagian mata. Hal ini terjadi apabila bekalan darah ke retina berjalan lancar dan tidak mempunyai apa-apa halangan (12).
Terdapat satu kajian yang dijalankan ke atas 30 orang sukarelawan dewasa. Mereka dikehendaki mengambil coklat dan tahap penglihatan mereka diperiksa selepas dua jam. Kajian mendapati bahawa coklat gelap mempunyai lebih banyak kebaikan daripada coklat putih.
Peserta yang mengambil coklat gelap mempunyai sedikit peningkatan terhadap daya penglihatan mereka berdasarkan ujian penglihatan yang dijalankan ke atas mereka berbanding peserta yang mengambil coklat putih (13).
6. Meningkatkan Prestasi dan Upaya Otak
Sumber: Pixabay.com
Coklat gelap juga boleh meningkatkan prestasi otak. Terdapat satu kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang sukarelawan. Berdasarkan kajian tersebut, didapati bahawa dengan mengambil koko yang mempunyai sumber flavanol yang tinggi selama lima hari berturut-turut, pengaliran darah ke otak akan meningkat (14).
Koko juga akan dapat meningkatkan fungsi kognitif dalam kalangan warga emas yang mempunyai kecacatan mental. Ianya dapat meningkatkan kepetahan bertutur (15).
Meskipun terdapat pelbagai manfaat coklat gelap, anda tidak semestinya perlu makan pada setiap masa. Ia masih mempunyai kalori yang boleh menyebabkan anda mudah makan secara berlebihan.
Jika anda ingin mendapatkan manfaat sebenar tanpa kalori, cuba anda ikut cara Tok Wan dan Mak Jah yang minum air koko hangat tanpa gula ataupun krimer setiap pagi.
Banyak coklat yang terdapat di pasaraya dan tempat lain yang dijual biasanya tidak sihat. Pilih produk berkualiti yang mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan koko.
Coklat gelap biasanya memang mempunyai kandungan gula, tapi kuantitinya lebih sedikit. Semakin gelap coklat, semakin kurang kandungan gula yang terdapat di dalamnya. Semoga bermanfaat dan Selamat Mencuba!
Nak lagi info kesihatan dari DuniaKesihatan.com Bersama Tok Wan dan Mak Jah? Boleh join group Telegram rasmi Dunia Kesihatan. Klik di sini. ->>> https://t.me/duniakesihatan