Bulan Ramadan bulan yang dinanti. Tok Wan pasti setiap Muslim sentiasa menantikan bulan ini kerana penuh keberkatan dan peluang untuk mendapat pahala berganda untuk setiap amalan.
Bulan yang dipenuhi keberkatan ini bukan sahaja melahirkan rasa gembira kepada orang Islam, tetapi juga kepada orang bukan Islam, khususnya di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Persediaan rohani dan fizikal sudahlah tentu terutamanya untuk mengerjakan ibadah utama iaitu berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Bagi pesakit gastrik, keghairahan menyambut Ramadan kadangkala terganggu dengan kebimbangan serangan gastrik yang mungkin datang ketika berpuasa. Mari Tok Wan bantu. Ikuti tips yang Tok Wan beri ini agar anda dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan.
Table of Contents
Apa itu Gastrik?
Gastrik atau gastritis adalah keradangan pada lapisan dalam perut. Ia boleh diklasifikasikan kepada akut (secara tiba-tiba dan dalam tempoh yang singkat) atau kronik (dalam tempoh yang lama).
Keradangan adalah tindak balas badan terhadap jangkitan atau bahan yang boleh merengsa bahagian badan, dalam kes ini adalah lapisan perut.
Sel darah putih akan mengeluarkan beberapa bahan kimia seperti bradykinin, serotonin dan prostaglandin. Hasilnya, bahagian yang terbabit akan bengkak, merah, panas dan kehilangan fungsi.
Walaupun ia adalah tindak balas yang bertujuan melindungi badan dari jangkitan dan bahan yang membahayakan, kadangkala mekanisme perlindungan itu sendiri boleh mendatangkan bahaya sehingga menyebabkan pembentukan ulser pada perut.
Apa Punca Gastrik?
Punca utamanya adalah bakteria H. pylori dan penggunaan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) secara berlebihan dalam tempoh yang lama. Bakteria H. pylori adalah sejenis bakteria yang hidup di dalam perut sebahagian manusia.
Kehadirannya di dalam perut boleh menyebabkan keradangan. Kehadiran H. pylori di dalam perut tidak semestinya menyebabkan penyakit gastrik tetapi pesakit gastrik kebiasaannya akan ditemui H. pylori di dalam perut mereka.
Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) juga boleh menyebabkan gastrik. Contoh NSAIDs adalah:
- Aspirin.
- Ibuprofen.
- Naproxen.
- Celecoxib.
NSAIDs bekerja dengan mengurangkan penghasilan prostaglandin E1, iaitu merupakan bahan kimia yang berfungsi melindungi lapisan perut dari dihakis oleh asid perut. Hasilnya, perut akan terdedah kepada asid dan menyebabkan keradangan dan mungkin ulser.
Ada juga punca lain bagi gastrik yang jarang berlaku seperti penyakit autoimun dan alahan makanan.
Simptom Gastrik
Simptom dan tanda-tanda gastrik kebiasaannya sukar dikenalpasti. Ia boleh berlaku dalam banyak keadaan. Tok Wan cadangkan anda menjalani pemeriksaan doktor bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.
Tanda-tanda dan simptom gastrik ialah:
- Sakit perut yang semakin teruk apabila perut kosong
- Muntah
- Mual
- Perut kembung
- Hilang selera makan
- Kerap sendawa
- Hilang berat badan
Doktor akan membuat penilaian dengan maklumat yang diperolehi dari symptom berkenaan dan dari sejarah perubatan anda serta beberapa ujian makmal untuk mengesahkan kehadiran bakteria H. pylori.
Tips Berpuasa untuk Pesakit Gastrik
Jaga pemakanan memainkan peranan yang penting untuk pesakit gastrik. Memandangkan simptom gastrik semakin teruk apabila perut kosong, sudah tentu ia akan mendatangkan masalah semasa berpuasa.
Anda boleh berpuasa seperti biasa asalkan anda mengambil makanan yang betul dan waktu pemakanan yang tepat.
1. Pastikan Bersahur
Pertama sekali, jangan sesekali lupa untuk bersahur. Selari dengan tuntutan agama Islam, sahur adalah sangat digalakkan. Makan semasa sahur akan memberikan anda bekalan tenaga sepanjang hari sehingga waktu berbuka.
Sebaiknya adalah untuk lewatkan waktu sahur hampir dengan azan subuh. Ini bertujuan memastikan tempoh perut tidak menerima makanan lebih singkat.
Selepas sahur, tidak digalakkan tidur. Namun jika hendak tidur juga, tunggu sekurang-kurangnya 2 hingga 3 jam sebelum tidur bagi mengelakkan masalah ketidakhadaman dan pedih ulu hati yang akan mengganggu puasa anda.
2. Berbuka Puasa Secara Sederhana
Kedua, berbuka puasa secara sederhana. Jangan sampai terlebih makan. Ia hanya akan menyebabkan ketidakhadaman dan merangsang serangan gastrik.
Mulakan dengan sesuatu yang ringan seperti kurma dan air kosong. Selepas selesai solat maghrib, sambung dengan hidangan berat tetapi tidak berlebihan. Selain mengelakkan gastrik, ia boleh mengelakkan mengantuk ketika solat tarawih.
Ketika moreh selepas tarawih pula, sebaiknya dielakkan. Tetapi demi menjaga hubungan sesame kariah masjid, kurangkan pengambilan makanan seboleh mungkin.
3. Pilih Makanan Yang Betul
Pemilihan makanan adalah sangat penting. Elakkan makanan dan tabiat yang merangsang serangan gastrik. Antara yang perlu dielakkan adalah:
- Minuman berkafein seperti kopi dan teh.
- Makanan berasid seperti buah limau, oren dan tomato.
- Makanan pedas.
- Makanan berlemak tinggi seperti mentega, coklat, santan dan keju.
- Makanan bergoreng.
- Merokok.
- Minuman berkabonat.
Lebihkan makanan berikut:
- Makanan tinggi fiber seperti epal, oat, lobak merah dan brokoli.
- Makanan rendah lemak seperti ikan dan ayam.
- Makanan berasid rendah atau berakali tinggi seperti sayur-sayuran.
- Makanan mengandungi probiotik seperti tempe dan yogurt.
- Banyakkan minum air putih.
Jika anda masih mengalami gastrik selepas mengamalkan diet dan tabiat makan di atas, anda mungkin perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Anda mungkin memerlukan ubat bagi mengawal asid di dalam perut.
Jom Jaga Ibadah dan Kesihatan Ketika Ramadan
Ibadah puasa adalah satu kewajipan bagi orang Islam. Tok Wan harap kita tidak menjadikan keadaan kesihatan sebagai alasan untuk kita ambil sambal lewa dalam meninggalkan ibadah ini.
Dapatkan nasihat perubatan dari doktor berdekatan dengan rumah anda. Ramadan seharusnya menjadi sesuatu yang menyenangkan dan menyihatkan badan. Jangan jadikan keadaan kesihatan anda sebagai penghalang.
Tok Wan dan Mak Jah nak ucapkan Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Ramadan Kareem!
Nak lagi info kesihatan dari DuniaKesihatan.com Bersama Tok Wan dan Mak Jah? Boleh join group Telegram rasmi Dunia Kesihatan. Klik di sini. ->>> https://t.me/duniakesihatan